Andai kata kami berada dalam barisan panelis juri pemilihan lagu ke pentas AJL, ataupun kami merupakan penerbit AJL, berikut merupakan 12 lagi pilihan kami daripada sejumlah 30 buah lagu yang tersenarai. Umpama mengembalikan lagu-lagu mengikut kategori seperti dulu-dulu, kami klasifikasikan kepada genre pop rock & etnik kreatif, balada & hip hop/dance pop elektro.
Pop Rock & Etnik Kreatif
Nang - Iman Troye (Ezra Kong/Ezra Kong & A.Ramlee) Views Youtube = 8.2 juta
Kekuatan lagu ini terletak pada susunan muzik serta liriknya berkisarkan kisah puteri legenda satu antara tujuh datangnya dari Jawa.
24434 - Floor 88 (Zai Hamzah/Achoi Floor 88) Views Youtube = 4.5 juta
Lagu ini wajar beraksi di pentas akhir AJL37 kerana mesej yang disampaikan secara bersahaja diiringi muzik rock bersulamkan samrah. Setiap bait liriknya bagai menepuk air di dulang, terpercik ke muka sendiri.
Debu - Amir Masdi & Dayang Nurfaizah (Mas Dewangga, Firdaus Rahmat, Jova Devito, Mike Chan, Karim Karam & Acap Salim) View Youtube = 529 K
Kelebihan lagu ini terletak kepada vokal dinamik Dayang & Amir yang blend well.
Anugerah Terindah - Alif Satar & The Locos (Alif Satar, Romeo, Tam Cobain & Efry Arwis/ Alif Satar, Romeo & Shah Shamshiri) Views Youtube = 725 K
Ini contoh lagu cinta yang beralun mengikut emosi dalam muzik yang kental jazzy R&B yang boleh bikin hanyut di samping attitude Alif Satar yg cheeky & sexy on stage sebagai vokalis utama.
Balada
Kembali Terang - Marsha (Ajin & Senna/Senna) View Youtube = 164 K
Semestinya kekuatan lagu ini terletak pada vokal Marsha yang memukau terutama part bridge menuju ke korus akhir. Namun nama komposer & penulis liriknya tampak masih hijau, namun siapa tahu mampu cipta kejutan besar.
Berakhirlah Pencarianku - Hafiz Suip & Ernie Zakri (Ikhwan Fatanna & Wan Saleh/ A.Aida) Views Youtube = 3.2 juta
Biarpun lagu ini bersifat AJL material sekiranya dinyanyikan sendiri oleh penyanyi asal, namun rendisi penyanyi gantian Ahmad Syafiq & Wani Kayrie wajar diletakkan sebagai adil & selamat. Semoga penyanyi asal dapat nyanyikan sendiri di pusingan akhir.
Sama Seperti Dulu - Hael Husaini (Hael Husaini & Iqie Hugh/ Hael Husaini) View Youtube = 702 K
Hael sudah lama tidak muncul dengan karya balada yang berani sebegini. Korus yang ada hook di samping susunan muzik yang ada goosebumps terutama jika mendengar sambil menonton MV nya.
Sempurna - Insomniacks (Insomniacks/ Iqie & Danial) Views Youtube = 6.4 juta
Sebuah lagu galau yang cukup semasa dan kena dengan umpan sebagai daya tarikan baru di kaca TV. Tidak hairan lagu ini bak pisang goreng panas di pasaran digital.
Hip Hop / Dance Pop Elektro
Makuta - Kmy Kmo, Luca Sickta feat. Hazama (Kmy Kmo & Luca Sickta) Views Youtube = 718 K
Jika MV diambil kira sebagai carry mark lagu ini telah jauh berada di hadapan berbanding lagu lain. Lirik yang penuh isi tersirat dan buat kita berfikir apa itu Makuta (Mahkota) - kata asal dari bahasa Sunda mengisahkan propaganda, ketidakadilan dan korupsi yang berlaku pada dunia pekerjaan dan juga pada kehidupan harian kita yang mungkin ada kuasa yang boleh memelihara atau disalah guna.
Satu Malam Di Temasek - SonaOne & Joe Flizzow (SonaOne/ SonaOne & Joe Flizzow) Views Youtube = 5.4 juta
Sebuah lagi lagu hip hop yang boleh disifatkan sebagai art berat. Setelah kejayaan Apa Khabar, SMDT merupakan mercu atau kemuncak destinasi kepada dominasi muzik hip hop yang mereka perjuangkan selama ini. Liriknya jika dihayati ada menyentuh tentang kematian. Sarat dengan sindiran dan kiasan yang tahu sahaja tahu rupa-rupanya sedang bercakap depan cermin refleksi diri.
Tak Sangka - Yonnyboii, Zynakal & ASYRAFNASIR (Yonnyboii, Zynakal & ASYRAFNASIR) Views Youtube = 11 juta
Trio ini tidak mempertaruhkan rupa, bakat semata-mata yang ingin ditonjolkan sebagai bakal pewaris legasi genre hip hop di masa hadapan. Lirik nukilan mereka dalam Bahasa Melayu boleh beri extra weightage dari segi penceritaan.
Berani - Dolla (John Jeeves & Firdaus Rahmat) - Views Youtube = 1 juta
Sekiranya lagu ini disampaikan secara vokal harmoni dan cukup rencahnya tidak mustahil lagu ini boleh bikin kejutan. Tambahan pula 4 gadis jelita ini pasti mampu memukau pesona kejelitaan mereka sebagai bonus.
Kesimpulan
Apa jua pilihan juri yang sebenar, hanya jauhari yang mengenal manikam.